25 November 2010

Repeat: Di Mana Silap Kita?

'Sepanjang perjalanan kamu dalam menuntut ilmu, dari peringkat tadika hingga ke peringkat universiti, alam kehidupan di universiti adalah yang paling menyeronokkan dan kamu akan ingat hingga ke akhir hayat kamu.' Itulah kata-kata yang diungkapkan oleh guru tuisyen aku, 6 tahun yang lalu. Pertengahan tahun 2006 merupakan saat yang paling menggembirakan buat abah, sebab aku berjaya mendapat tempat di CFS IIUM. Abah lagi seronok daripada aku, kerana baginya bukan senang nak dapat UIA. Mendapat tempat di universiti untuk kursus yang tidak berapa aku minati memang besar cabarannya. Namun sebagai manusia biasa, kita tidak dapat semua yang kita mahukan dalam hidup ini.


Cabaran hidup bermula apabila keputusan akhir semester diumumkan. Kebijaksanaan, kefahaman dan usaha yang tinggi perlu seiring. Anda tidak akan berjaya jika hanya bersandarkan kepada kepandaian semata-mata, melainkan anda memang sangat genius. Faham tetapi tidak rajin berusaha pun tidak akan membantu. Begitu juga jika rajin tetapi faham tentang tugasan yang dilakukan pun tidak akan memberi sebarang faedah. Setiap daripada kita memang berbeza dan unik, maka penilaian kita terhadap orang yang gagal mana-mana subjek atau dalam erti kata lain repeater juga berbeza.


Lewat hujung semester lepas, aku berbual dengan seorang teman yang datang ke bilik aku. Berkongsi kisah mengenai isu ini telah membawa aku ke tahap yang lain. Kami mencari silap kami, kami pergi ke kelas, menyiapkan tugasan sebelum tarikh akhir, belajar dengan bersungguh-sungguh menjelang kuiz, peperiksaan pertengahan dan akhir semester, tetapi kami kecundang. Kami sedaya upaya cuba menyesuaikan diri mengikut rentak pengajaran dan pembelajaran pensyarah memandangkan setiap daripada mereka mempunyai pendekatan yang berbeza.


Selain itu, kami sedaya upaya menjaga hubungan baik dengan tuhan, ibu bapa kami, pensyarah dan juga kawan-kawan. Aku mengakui, kami risau jika gagal kerana ia menjatuhkan CGPA. Aku memang tidak suka dengan persepsi sesetengah orang yang mengatakan repeater wujud sebab tak belajar bersungguh-sungguh. Lagipun tidak elok untuk kita terus menghakimi seseorang tanpa usul periksa. Yang penting, muhasabah diri kita semula dan cari punca kepada masalah ini.


Aku bukanlah seorang yang pandai, pencapaian aku sederhana sahaja tetapi aku cuba sedaya upaya untuk berjaya. Dalam doaku, aku selalu meminta supaya diberikan pencapaian akademik yang baik, bukan untuk aku tetapi untuk kedua ibu bapa aku. Apabila aku gagal, aku kecewa kerana sedikit sebanyak kegagalan itu telah menghampakan mama dan abah. Walaupun di bibir mereka terucap kata-kata perangsang untuk aku terus berusaha pada semester baru, aku dapat rasakan hati mereka menangis.


Hidup ini penuh dengan kejutan yang tidak dijangka. Aku sangka dapat mengekalkan momentum yang sedia ada sejak peringkat matrikulasi, tetapi aku silap. Jika anda beranggapan anda akan sentiasa berada di atas, sila hentikan angan-angan itu kerana ia tidak selalunya indah. Kehidupan di universiti ternyata jauh berbeza dari kehidupan di sekolah menengah. Yang penting sentiasa beringat dan jangan terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing.


Menjelang tiga semester terakhir aku di Kuantan, aku berharap aku akan menjadi seorang yang lebih cekal dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Aku selalu titipkan doa semoga mama dan abah panjang umur dan dapat melihat aku terima ijazah di hari konvokesyen nanti. Selain itu, aku juga berdoa semoga aku akan sampai ke penghujung jalan ini, kerana inilah jalan yang telah aku pilih empat tahun yang lalu.


;;